suria

Kayveas minta Murugiah tubuh parti baru

KUANTAN: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas hari ini meminta Senator Datuk T.Murugiah menubuhkan sebuah parti baru yang lain, sekaligus memahkotakan terus dirinya sebagai presiden parti baru itu, daripada terus menimbulkan pelbagai masalah kepada parti itu.

"Saya cabar dia, kenapa kacau PPP, jika dia begitu bagus, buat satu parti lain untuk satukan orang India.

"Sebelum ini dia (Murugiah) jumpa ROS ((Pendaftar Pertubuhan), dia dah minta ROS batal parti ini, ROS tak layan dia, tibatiba dia dilantik sebagai presiden, itu sah? Dia kena periksa mental dia di (hospital) Tanjung Rambutan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan PPP Pahang, di sini, semalam.

Perhimpunan itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yang mewakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kemelut politik PPPP dilihat semakin meruncing apabila satu perhimpunan tergempar diadakan di Putrajaya semalam yang didakwa dianggotai 1,760 perwakilan dari 778 cawangan parti itu memilih Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai presiden baru.

Kayveas berkata beliau masih merupakan presiden PPP yang sah dan menyifatkan kemelut yang berlaku itu hanyalah seperti "ribut di dalam cawan teh" yang pasti boleh diselesaikan.

"Perhimpunan yang berlaku itu tidak sah dan saya tidak mahu komen lagi tentang orang yang gila publisiti, tamak dan mengisytiharkan diri sendiri, dia telah dipecat daripada parti.

"Dia boleh buat apa yang dia mahu tapi kami masih menunggu rayuan dia (Murugiah) sehingga 30 Mei berhubung pemecatannya," kata Kayveas.

Mengenai perhimpunan tergempar itu, Kayveas berkata pada asalnya ia hanya merupakan satu perjumpaan biasa sebelum Murugiah menjadikan perjumpaan itu sebagai satu perhimpunan tergempar parti.

"Kurang daripada 10 peratus yang hadir semalam adalah ahli PPP, baju pun dipinjamkan, tak tahu dari mana (mereka yang hadir).

"Anda perlu pemilihan yang betul untuk mengundi bagi presiden parti, bukan setakat buat perhimpunan dan memanggilnya sebagai perhimpunan agung luar biasa," katanya. Kayveas berkata parti juga sedang mengenal pasti anggota-anggota yang hadir ke perjumpaan tersebut dan mereka yang hadir akan diberikan surat tunjuk sebab.

Mengenai Perhimpunan Agung PPP ke-56, Kayveas berkata ia tetap akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada 7 Jun depan, dan menurut Kayveas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini telah mengesahkan akan hadir untuk merasmikannya. BERNAMA

Artikel Lain