suria

12 butir bom mortar ditemui di Hutan Sg. Seli

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 butir bom mortar yang masih aktif yang dipercayai peninggalan zaman pemerintahan Jepun ditemui di lereng bukit Kampung Sungai Seli, Taman Melawati, berhampiran kawasan tadahan air Empangan Kelang Gate, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Aminuddin Jamaluddin berkata bom mortar itu ditemui kirakira pukul 10.30 pagi oleh seorang lelaki yang melalui kawasan hutan tersebut untuk ke kebunnya di kawasan berhampiran.

Aminuddin berkata lelaki itu yang curiga dengan penemuan tersebut terus menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai penemuan itu.

"Polis menemui 10 butir bom mortar yang sudah berkarat di satu kawasan manakala dua butir lagi ditemui di lokasi berasingan yang tidak jauh dari penemuan pertama," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata polis terpaksa mengambil masa kirakira 25 minit untuk sampai ke tebing Sungai Seli dengan menaiki bot dan mendaki 100 meter dari tebing sungai untuk sampai ke kawasan penemuan.

Aminuddin berkata bom itu berjaya dimusnahkan dalam masa 30 minit oleh Unit Pemusnah Bom IPD Ampang.

"10 butir bom pertama dimusnahkan pada kirakira pukul 3.50 petang manakala dua butir lagi pada pukul 4.20 petang dengan menggunakan sejenis bahan letupan plastik, katanya.

Operasi itu turut membabitkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Jalan Ampang dan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Jinjang. BERNAMA

Artikel Lain