suria

Timbalan Presiden PAS: Nasharuddin umum pertahan jawatan

PETALING JAYA: Nasharuddin Mat Isa akan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PAS yang disandangnya pada pemilihan parti yang akan berlansung pada awal bulan Jun ini.

“Saya akan tetap bertanding jawatan itu (Timbalan Presiden). Saya tak akan tarik diri,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian beliau sama ada bertanding atau sebaliknya jawatan Timbalan Presiden pada Muktamar PAS Ke-55 minggu depan.

"Saya sudah lama menghantar surat jawapan untuk bertanding kepada jawatankuasa pemilihan. Kenapa perlu tarik diri bila saya sudah cukup pencalonan?” katanya.

Nasharuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pendiriannya itu.

"Saya akan beri kenyataan lanjut mengenainya dua atau tiga hari lagi. Tunggu lah selepas jawatankuasa pemilihan umumkan calon-calon yang layak bertanding esok," katanya.

Hari ini merupakan tarikh tutup bagi setiap calon menghantar surat jawapan untuk bertanding kepada jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Datuk Mustafa Ali.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, lima orang calon layak bertanding iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dan dua Naib Presiden PAS sedia ada, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PAS semakin menarik apabila, Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah dan Haron Din telah mengumumkan penarikan diri masing-masing daripada bertanding jawatan tersebut minggu lalu.

Ia sekali gus membuka ruang kepada pertarungan tiga penjuru antara penyandang, Nasharuddin, Husam dan Mat Sabu.

Persaingan antara calon-calon yang layak bertanding pada pemilihan PAS kali ini dikaitkan dengan pertembungan antara ulama yang pro kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan 'puak Erdogan' yang pro-Anwar.

Penarikan diri Haron dan Azizan itu membolehkan Nasharuddin muncul sebagai calon tunggal mewakili aspirasi kepimpinan ulama.

Artikel Lain