suria

PPP Perak, Selangor, Negeri Sembilan desak Murugiah letak jawatan

IPOH: Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak hari ini mendesak Datuk T. Murugiah supaya meletak jawatan kerana melanggar perlembagaan parti dengan menganjurkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Putrajaya semalam.

Pengerusinya Datuk Lee Heng berkata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu perlu meletak jawatan kerana pelantikan tersebut adalah atas tiket parti PPP.

Beliau mendakwa Murugiah, bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) parti yang dipecat dua minggu lalu, telah menyalahgunakan kuasa sebagai Timbalan Menteri untuk memohon permit bagi menganjurkan perjumpaan dengan rakyat dan sebaliknya mengadakan EGM.

Mengikut perlembagaan parti, notis perlu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung dalam tempoh tertentu sebelum mesyuarat EGM boleh diadakan, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

"Murugiah menjemput ahli di beberapa kawasan di negeri ini bagi menghadiri satu seminar di Putrajaya dan mengadakan EGM. Tindakan itu jelas menunjukkan beliau membelakangkan parti dan EGM dibuat secara tidak sah," katanya.

Pada EGM yang dihadiri oleh 1,760 perwakilan dari 778 cawangan parti itu, Murugiah dipilih sebagai presiden dan meluluskan undi tidak percaya ke atas Datuk M. Kayveas yang menyandang jawatan itu sejak 1993.

Pada 16 Mei lalu, Lembaga Disiplin PPP memecat tujuh ahli parti termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti. Lee, yang juga Timbalan Presiden PPP, berkata, PPP Perak berdiri teguh dan menyokong penuh kepimpinan Kayveas sebagai presiden parti.

Sementara itu, anggota MT PPP, Dr Naran Singh berkata Murugiah masih berpeluang menjadi Presiden sekiranya beliau mengikut saluran yang betul untuk menjernihkan semula pergolakan yang berlaku masa ini.

"Murugiah masih boleh menghantar surat tunjuk sebab kepada MT sebelum 30 Mei ini bagi meminta hukuman yang dikenakan terhadapnya ditarik balik," katanya.

Di Shah Alam, 12 ahli MT dan exco PPP Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Murugiah kerana mengadakan mesyuarat EGM yang tidak sah.

Naib Presiden PPP Datuk Maglin D'Cruz berkata mesyuarat EGM itu tidak sah kerana Murugiah gagal memaklumkan kepada Setiausaha Agung parti sebelum memanggil mesyuarat itu dan antara perwakilan yang hadir merupakan ahli parti yang digantung atau dipecat.

"Lagipun, cawangan Murugiah telah dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Bagaimana seseorang itu boleh menjadi presiden jika dia tidak mempunyai cawangan parti. Kami mahu polis menyiasat perkara ini secara mendalam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Di Seremban, PPP Negeri Sembilan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam menyelesaikan kemelut dalam parti itu.

Pengerusinya Sahul Hameed Shaikh Mohaideen berkata Najib, selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN), mampu mendamaikan keadaan.

"Pergolakan dalaman ini bukan sahaja memalukan PPP malah BN memandangkan parti itu adalah parti komponen BN," katanya. Katanya tindakan Murugiah itu tidak bermaruh dan memalukan parti dan BN. Kita (PPP Negeri Sembilan) akan membuat laporan polis berhubung perkara ini," katanya.

Menurutnya PPP Negeri Sembilan berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Kayveas sebagai presiden parti. BERNAMA

Artikel Lain