suria

Polis tangkap empat lelaki menyamun dua buah kedai

IPOH: Polis menahan empat lelaki selepas mereka menyamun dua buah kedai di Jalan Pasar Lama, Parit Buntar, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, seorang daripada mereka yang berumur 29 tahun mempunyai 14 rekod kesalahan lampau dan baru keluar dua hari dari penjara Simpang Renggam, Johor.

Polis turut menahan seorang suspek yang dipercayai ketua kumpulan itu yang berumur 46 tahun yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Berikutan penangkapan mereka, polis menjumpai semula 10 telefon bimbit, dua utas rantai leher, wang tunai lebih RM700 yang dirampas penyamun itu daripada mangsa mereka, katanya.

Katanya polis turut merampas dua bilah parang, sebatang kayu, empat helai jaket dan sebilah pisau kerambit daripada mereka yang digunakan dalam kejadian samun itu.

Polis turut merampas dua buah kenderaan yang digunakan penyamun itu.

Mat Fauzi berkata kesemua mereka ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Lain