KUALA LUMPUR: Penagih dadah di bandaraya kini semakin berani dan kurang ajar dengan menjadikan rumah ibadat seperti masjid sebagai tempat mereka "bersantai" setelah melepaskan gian terhadap dadah.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata ini terbukti apabila 46 orang penagih ditahan oleh anggota polis daripada Jabatan Narkotik ketika sedang berehat di dalam dan di luar Masjid India di sini setelah melepaskan gian masingmasing, dalam operasi "Ops Tapis" pada 6 petang Sabtu lepas. Beliau berkata kesemua mereka yang berusia antara 21 dan 62 tahun itu mengambil dadah di belakang rumah kedai berhampiran dan ada yang melakukannya di belakang masjid itu. Katanya daripada jumlah itu 26 penagih positif dadah jenis ganja manakala seorang penagih memiliki dadah jenis heroin seberat 0.1 gram. "Kesemua mereka ditahan ketika sedang berehat di dalam dan luar masjid selepas khayal mengambil dadah dan ada yang kita tahan kerana mencuri kasut dan selipar milik mereka yang bersembahyang di masjid itu," katanya.Kang berkata pihaknya memandang serius perkara ini kerana daripada berehat di lorong dan celah bangunan, penagih dadah kini semakin berani untuk mencemari kesucian masjid dan mencuri."Kita akan membersihkan kawasan tumpuan pelancong seperti di Jalan Masjid India daripada penagih dadah dan operasi ini akan dijalankan secara berterusan," katanya. BERNAMA