suria

Lelaki warga Vietnam ditemui mati berlumuran darah

KUALA LUMPUR: Polis sedang mencari beberapa orang rakan seorang lelaki warga Vietnam yang ditemui mati berlumuran darah dengan dahinya pecah kesan hentakan objek keras di sebuah rumah di Batu 4, Jalan Gombak, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 1 tengah hari oleh tuan rumah tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada pekerja sebuah bengkel yang terletak berhampiran rumah itu.

"Mayat mangsa, seorang buruh berusia lewat 20an, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan terperosok di satu sudut rumah itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang menyewa rumah itu sejak lapan bulan lepas dipercayai mati serta merta akibat dipukul dengan menggunakan objek keras. Bagaimanapun objek yang digunakan tidak ditemui.

Zakaria berkata siasatan awal polis mendapati sebelum mayat itu ditemui berlaku pergaduhan antara mangsa dengan beberapa orang rakan senegaranya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. BERNAMA

Artikel Lain