suria

Kematian pembantu rumah: Laporan bedah siasat dapati ada unsur kekerasan

KUALA LUMPUR: Bedah siasat ke atas pembantu rumah warga Indonesia yang ditemui mati dengan kesan lebam di rumah majikannya di Petaling Jaya Sabtu lepas menunjukkan terdapat unsur kekerasan terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata laporan bedah siasat itu diperoleh lewat petang semalam selepas dimaklumkan oleh pihak hospital.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut bentuk kekerasan yang dilakukan ke atas mangsa.

"Kita akan siasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sabtu lepas, seorang pembantu rumah yang dikenali sebagai Kartini, 20, ditemui mati dengan 90 peratus kesan lebam di badannya di sebuah rumah teres di Seksyen 17/26, Petaling Jaya dekat sini.

Berikutan itu, dua adikberadik, seorang lelaki berusia 31 tahun dan seorang wanita berusia 20 tahun iaitu anak majikan mangsa ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kematian berkenaan.

Arjunaidi berkata sehingga kini hanya dua orang sahaja yang ditahan bermula semalam hingga Khamis ini.

"Polis masih menjalankan siasatan terperinci dan akan turut mengambil keterangan isteri majikan mangsa yang kini menerima rawatan di PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya)," katanya. BERNAMA

Artikel Lain