suria

Kastam Johor rampas rokok bernilai hampir RM4 juta

JOHOR BAHARU: Kastam Negeri Johor menahan dua buah lori membawa rokokrokok tidak berbayar cukai kastam bernilai hampir RM4 juta termasuk cukai dalam dua kejadian berasingan di sini dua hari lepas.

Pengarahnya Mohamad Subre Ishak berkata, lori pertama ditahan pada 12.30 pagi di Jalan Kempas Lama membawa 350 kotak rokok putih bernilai RM420,000 yang cukainya berjumlah RM1.65 juta.

Turut ditahan dalam operasi oleh sepasukan anggota Kastam (Pencegahan) Pontian dan Segamat itu adalah pemandu lori berkenaan, seorang lelaki berusia 45 tahun, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kira-kira 15 minit selepas kejadian pertama, anggota Kastam telah menahan sebuah lagi lori bersama muatan rokokrokok tidak berbayar cukai kastam di Lebuhraya Linkedua menghala Utara.

Mohamad Subre berkata, pihaknya menemui 185 peti rokok termasuk daripada jenis kretek dalam lori berkenaan bernilai RM304,200, yang cukainya berjumlah RM1.52 juta.

Jumlah nilai keseluruhan rokok yang dirampas dari dua kejadian itu katanya, adalah RM724,2000 membabitkan jumlah cukai RM3.2 juta.

Kastam turut menahan seorang lelaki dalam kejadian kedua itu. Ia kini ditahan reman selama dua minggu bersama lelaki yang ditahan pada kejadian pertama, katanya.

Sementara itu, dalam kejadian pada 2.15 petang dua hari lepas di Muar, anggota Kastam daerah merampas 66 kotak daging ayam beku bernilai RM8,500 dalam operasi pencegahan di pesisir pantai Kampung Teluk Jawa.

Katanya, pihaknya menyedari aktiviti penyeludupan itu dari negara jiran sedang berlaku dengan kotakkotak barangan itu sedang dipunggah dari bot penyeludup ke sebuah lori oleh anggota sindiket.

"Anggota sindiket bertempiaran lari manakala pemandu bot yang digunakan turut melarikan botnya apabila menyedari kehadiran pasukan Kastam," kata Mohamad Subre.

Di PELABUHAN KLANG, Kastam Selangor mematahkan cubaan menyeludup rokok berjenama 'beedies' dan rokok putih bernilai hampir RM2 juta termasuk cukai dalam dua rampasan berasingan Khamis lepas.

Pengarah Kastam Selangor Datuk Roslan Yusof berkata, dalam rampasan pertama membabitkan rokok 'beedies', Kastam Selangor menahan dua kontena di Pelabuhan Utara kira-kira pukul 10.45 pagi, yang kandungannya diikrar sebagai Ubi Keledek.

Beliau berkata helah menyembunyikan rokok berkenaan di bawah timbunan ubi keledek itu terbongkar sebaik tiga lapisan hadapan kontena berkenaan dibuka dan pihaknya menemui sebanyak 9.8 juta batang rokok bernilai RM1.36 juta.

"Kita percaya rokok jenis ini dibawa masuk ke Malaysia atas permintaan tinggi dari warga Bangladesh yang menetap di sini dan rokok jenis ini dipercayai berasal dari India," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelupusan rokok rampasan di Wisma Kastam di sini, hari ini.

Roslan berkata seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu dan agen perkapalan serta syarikat pengimport yang terbabit juga sedang dikesan berdasarkan borang ikrar barangan yang dirampas.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 (semakan 1980) iaitu ikrar tidak benar ke atas diskripsi dagangan di mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduaduanya.

Roslan berkata dalam rampasan berasingan kira-kira pukul 6.50 petang, hari yang sama, pihaknya menemui rokok putih jenis 'Marlboro' bernilai RM545,280 termasuk nilai cukai kastam, di sebuah rumah kosong di Taman Indah, Kapar dekat sini.

"Semua rokok yang ditemui belum lulus kastam dan tidak mempunyai setem duti kastam. Kita percaya ia disimpan sementara di rumah berkenaan sebelum dijual ke pasaran," katanya.

Beliau berkata pihaknya masih mengesan tuan rumah berkenaan memandangkan ketika serbuan tidak ada sesiapa yang tampil mengaku sebagai pemilik barangan mahupun pemilik premis berkenaan.

Katanya, kes itu membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 (semakan 1980) iaitu dalam apaapa cara dengan disedarinya terlibat dalam memiliki apaapa barangan berduti dan larangan.

Dalam perkembangan lain, Roslan berkata sehingga April lepas, Kastam Selangor mencatatkan 60 kes rampasan penyeludupan rokok kretek dan putih bernilai RM31.52 juta termasuk cukai.

Beliau sebelum itu turut menghadiri mesyuarat bersama polis dan Gabungan PekilangPekilang Tembakau bagi menjalin kerjasama terutamanya dalam menangani penyeludupan rokok ke negara ini.

"Kita telah bersetuju dalam mesyuarat tadi untuk bekerjasama termasuk berkongsi maklumat bagi menangani masalah penyeludupan rokok," katanya. BERNAMA

Artikel Lain