suria

Empat ditahan perjudian internet

KAJANG: Empat pekerja pusat perjudian internet ditahan dalam satu operasi yang dijalankan selama tiga hari sejak 20 Mei lepas di sekitar daerah Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Shakaruddin Che Mood berkata kesemua lelaki berusia 25 hingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan di premispremis perjudian internet di Sungai Chuah, Bukit Mewah dan Kajang Utama.

"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan dan kita sedang mengenalpasti pemilik premispremis itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 90 set komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian itu turut dirampas.

Shakaruddin berkata polis telah meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk memotong bekalan supaya premispremis itu tidak dapat beroperasi.

Katanya sejak Januari sehingga Mei tahun ini sebanyak 33 serbuan dibuat di sekitar Kajang dan sebanyak 617 set komputer dirampas.

"Sebanyak 34 tangkapan dibuat sepanjang tempoh itu. Aktiviti perjudian ini berjalan dari semasa ke semasa jadi pemantauan polis turut dilakukan secara berterusan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain