suria

Najib: Jangan guna Satu Malaysia kemuka tuntutan melampau

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berharap gagasan Satu Malaysia yang beliau cetuskan, antara lain bagi menyatukan rakyat negara ini tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi membuat tuntutan keterlaluan dan tidak munasabah kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, pengertian gagasan itu seharusnya didasarkan kepada tiga tunggak yang digariskan iaitu konsep penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial.

"Saya berharap bahawa gagasan Satu Malaysia ini merupakan satu konsep yang boleh menjurus kepada perpaduan lebih kental kerana konsep ini membawa penghayatan perpaduan itu ke tahap lebih tinggi.

"Bukanlah konsep Satu Malaysia ini disalahgunakan oleh sesiapa untuk membuat atau mendesak tuntutan yang keterlaluan atau tidak munasabah," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Gagasan itu digunakan oleh beliau sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri awal April lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bahawa beberapa pihak daripada dalam dan luar kerajaan menggunakan konsep Satu Malaysia untuk membuat tuntutan bagi kaum mereka sendiri.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Kewangan menyeru rakyat negara ini untuk bekerjasama dalam gagasan Satu Malaysia demi perpaduan negara.

Beliau berkata, soal perpaduan tidak boleh dipandang mudah dan semua pihak harus berusaha untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Najib turut meminta semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan negara.

Beliau berkata, semua pihak mesti memahami bahawa terdapat had tertentu dalam membuat kenyataan supaya keamanan negara terus terpelihara.

"Kita mesti faham bahawa ada had dari apa yang boleh kita suarakan.

"Bila tindakan (undang-undang) dibuat, nanti kerajaan pula dipersalahkan," kata beliau mengulas tindakan Hindraf yang masih melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan walaupun lima pemimpin pertubuhan itu iaitu, P. Uthayakumar, M. Manoharan, K. Vasantha, V. Ganabatirau dan R. Kenghadharan telah dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pertubuhan itu sebelum ini pernah mengugut untuk mengadakan demonstrasi jalanan sekiranya ketua mereka, Uthayakumar dihadapkan ke Lembaga Penasihat ISA.

Najib berkata, kerajaan amat ikhlas berhubung tindakan membebaskan lima pemimpin Hindraf itu dan tidak mahu dilabel sebagai kerajaan yang zalim.

"Jika mereka membuat kenyataan yang keterlaluan, maka saya serahkan kepada rakyat untuk menilai sikap mereka," katanya.

Artikel Lain