suria

Dua muka baru dalam Umno Kelantan

KOTA BHARU: Datuk Hanafi Mamat dan Dali Hussin adalah dua muka baru yang dilantik memegang jawatan penting dalam Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata Hanafi yang merupakan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas dilantik sebagai Bendahari Umno manakala Dali, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri.

"Hanafi menggantikan Datuk Noorzahidi Omar yang kini dilantik sebagai Setiausaha Umno Kelantan manakala Dali menggantikan Datuk Md Alwi Che Ahmad yang kini Setiausaha Barisan Nasional negeri," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Hanafi adalah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Pasir manakala Dali sebelum ini merupakan Ketua Pemuda Umno Kelantan.

Noorzahidi pula adalah Adun Pengkalan Kubor yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat manakala Md Alwi ialah Adun Kok Lanas dan ketua pembangkang di DUN Kelantan.

Sebelum ini jawatan Setiausaha Umno Kelantan dipegang Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Mustapa, yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno negeri di Bangunan Umno di sini, berkata pelantikan itu diyakini mampu memberi imej baru kepada Umno negeri dan berharap parti itu akan diterima semula rakyat Kelantan. BERNAMA

Artikel Lain