suria

Reman terhadap empat pengawal keselamatan disambung empat hari lagi

KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman terhadap empat pengawal keselamatan berhubung kes samun sebuah van keselamatan di Taman Segar, Cheras Isnin lalu disambung empat hari lagi mulai hari ini.

Keempat-empat pengawal keselamatan tersebut yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun direman bagi membantu siasatan kes berkenaan yang dipercayai dilakukan oleh tiga perompak yang berjaya meloloskan diri dengan melarikan lapan karung berisi wang tunai berjumlah RM8.24 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Sabtu Osman ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan lanjutan tempoh reman itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 malam itu, tiga suspek yang bersenjatakan dua pucuk pistol itu hanya sempat melarikan van keselamatan itu sejauh kirakira 200 meter dari tempat kejadian sebelum van itu terhenti dan terkunci selepas sistem keselamatan automatiknya diaktifkan.

Namun suspek-suspek yang bertopeng muka itu meloloskan diri dengan melarikan lapan karung berisi wang tunai itu, tetapi tidak sempat melarikan empat lagi karung yang dipercayai mengandungi kirakira RM2 juta yang ditinggalkan dalam kenderaan itu.

Polis sedang menyiasat kemungkinan kumpulan suspek itu mempunyai pengetahuan dengan sistem keselamatan pada van terbabit sehingga mereka mampu melepaskan diri dan pada masa yang sama sempat melarikan wang tunai itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zambry MB Perak sah

Artikel Berikut

Artikel Lain