suria

Lans Koperal didakwa terima rasuah RM35,000

SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM35,000 sebagai dorongan untuk membebaskan seorang suspek yang dikatakan terlibat dalam kes samun bersenjata, empat tahun lepas.

Shahruddin Baharim, 42, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas keduadua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di Cawangan Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, didakwa memperoleh suapan RM10,000 daripada seorang peniaga, Mohd Abdul Kahar Md Rani, 45, sebagai dorongan untuk membebaskan adik iparnya yang ditahan kerana dikatakan terlibat dalam kes samun bersenjata.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak Projet Batu 3 di sini, kirakira pukul 4.30 petang pada 19 Feb 2005. Dua hari selepas itu (21 Feb) kirakira pukul 2 petang di tempat yang sama, Shahruddin didakwa memperoleh suapan RM25,000 daripada Mohd Abdul Kahar sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee mencadangkan kepada mahkamah agar Shahruddin dibebaskan dengan jaminan RM15,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan dia kini digantung tugas dan hanya menerima separuh gaji dan perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta dua anak yang masih bersekolah.

Tambahan pula, katanya dia akan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 4 Julai ini dan dijangka menjalani pembedahan pintasan jantung pada 7 Julai.

Hakim M.Gunalan membenarkan Shahruddin diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zambry MB Perak sah

Artikel Berikut

Artikel Lain