suria

Tiga termasuk dua beranak dibunuh dalam rompakan

IPOH: Tiga orang termasuk dua beranak dibunuh selepas dirompak seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah di sini semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah berkata yang terbunuh dalam kejadian itu ialah seorang wanita, Wah Yah Matzi, 42, yang merupakan seorang pengusaha salon, anak lelakinya Ermin Danish Jafri, 5, dan seorang pembantu rumah yang hanya dikenali sebagai Dani berusia dalam lingkungan 20an.

Beliau berkata seorang lelaki berumur 26 tahun ditahan oleh orang ramai dalam kejadian kirakira pukul 2.45 petang itu, semasa cuba melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah motosikal.

"Polis percaya berlaku pergelutan semasa kejadian. Sebaik sampai, (polis mendapati) ketiga-tiga mereka yang ditemui di ruang tamu rumah itu sudah meninggal dunia.

Mereka ditemui dengan kesan tikaman dan tetakan di beberapa anggota badan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini.

Katanya ketiga-tiga mereka didapati mengalami cedera parah di beberapa anggota badan, dan mayat mereka sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu merujuk kepada suspek tersebut Zulkefli berkata lelaki itu mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital yang sama, dengan kawalan ketat polis.

Katanya siasatan polis mendapati sebuah komputer riba milik wanita itu hilang dalam kejadian tersebut, dan polis turut menemui sebilah pisau di tempat kejadian yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Menurutnya siasatan awal polis juga mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau membabitkan tiga kes curi yang disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan, dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain