suria

Saya tahu Mirza tidak bersalah: Zulhisham

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu oleh bekas perunding pengarah syarikat pengiklanan, Zulhisham Ayob bahawa bekas ketua pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke10, beberapa kali menyatakan ia bukan hanya sekadar pendapat tetapi berdasarkan keterangan dan pengetahuan sendiri berhubung perkara itu.

"Keterangan saya mengatakan tertuduh tidak bersalah bukan sekadar pandangan tetapi ia berlandaskan pengetahuan saya bahawa memang saya tahu dia tidak bersalah," katanya ketika menjawab soal balas daripada Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad.

Zulhisham, yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif Syarikat Pakar Perunding, berkata demikian selaras keterangannya yang diberikan semalam ketika dalam pemeriksaan utama menyatakan kos rawatan sebanyak

RM13,860 dibiayai sepenuhnya oleh beliau. Zulhisham, 48, memberi keterangan dalam kes perbicaraan Mirza, 52, yang dituduh menerima suapan RM13,860, daripada Syarikat Pakar Perunding yang membiayai rawatan pergigian Mirza di klinik itu.

Mirza didakwa melakukan kesalahan itu di klinik itu di No. 15, Ground Floor, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, di antara 17 Jan hingga 26 Julai 2005.

Zulhisham turut memberitahu mahkamah beliau tidak mendapat sebarang faedah atau melibatkan kepentingan peribadi daripada pertemuan di antara bekas isterinya, Dr Khamsiah dan Mirza.

Ketika disoal oleh Saiful Hazmi, beliau menegaskan beberapa kali bahawa pembayaran bagi kos rawatan RM13,860, menggunakan wang syarikat berdasarkan alasan beliau adalah pemegang saham dalam syarikat itu dan masih berhak ke atasnya sebanyak 10 peratus walaupun telah berhenti sejak September lepas.

"Sebab utama mengapa saya menggunakan wang syarikat adalah untuk membantu bekas isteri dalam menjalankan perniagaannya (klinik) bagi mendapatkan pesakit di samping saya adalah pemegang saham dalam syarikat itu," katanya.

Selain sebahagian wang itu adalah haknya, beliau berkata syarikat juga sememangnya menyediakan peruntukan untuk elaun keraian pelanggan.

Ketika ditanya Hakim Zainal Abidin Kamarudin mengenai perhubungannya dengan Mirza, Zulhisham berkata bahawa beliau mengenali tertuduh sejak tahun 1990 malah hubungan mereka agak rapat.

Zainal kemudian menetapkan 18 Jun ini untuk mendengar hujahan penggulungan keduadua pihak selepas pihak pendakwaan menutup kes itu hari ini. BERNAMA

Artikel Lain