suria

Warga Singapura dilepas tuduhan edar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang warga Singapura menitiskan air mata sejurus mendengar keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah.

Poh Peng Chye, 42, yang berada di kandang tertuduh, berkalikali mengesat air matanya dan sejurus prosiding selesai Poh meminta peguam yang mewakilinya meminjamkan telefon untuk memaklumkan berita gembira itu kepada kawannya.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan setelah mendapati pendakwa gagal membuktikan kes prima facie dan tiada sebarang pembuktian tentang pemilikan dadah itu.

Ghazali berkata berdasarkan keterangan saksi, ketika kejadian pintu bilik Poh tidak dikunci dari dalam dan almari serta peti keselamatan yang mengandungi dadah itu berada dalam keadaan terbuka.

Katanya Pengurus Keselamatan Hotel Azman Abdul Aziz ketika memberi keterangan juga tidak menolak kemungkinan ada orang lain seperti penyelenggara dan pengemas bilik yang mempunyai kunci pendua memasuki bilik itu.

"Tiada keterangan bahawa tertuduh cuba melawan atau cuba menghalang dan memusnahkan dadah itu. Perasaan takut tertuduh ketika berhadapan pihak polis adalah biasa," katanya.

Sebelum itu Ghazali berkata hujah peguam yang menyatakan tertuduh tidak mengetahui kewujudan dadah itu tidak boleh diketepikan dan dia juga berkemungkinan tidak mempunyai sebarang kawalan ke atasnya.

Poh, yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kasino didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 1,098 gram di bilik no 2032 Prince Hotel & Residence Kuala Lumpur, Jalan Conlay di sini pada pukul 9.55 pagi, 5 Feb 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Mengikut fakta kes ketika serbuan, Poh sedang tidur dan dia terpaksa dikejutkan oleh anggota polis yang memasuki biliknya dan ketika itu didapati pintu almari dan peti keselamatannya berada dalam keadaan terbuka.

Di atas meja di bilik hotel itu juga terdapat beberapa bahan pengisar yang digunakan untuk memproses dadah.

Selain itu, Poh turut menghadapi pertuduhan tidak memiliki pas lawatan yang sah dan dia yang mengaku bersalah dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula tarikh tangkap, 5 Februari 2005 oleh hakim yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache manakala peguam T. Thiyageswaran mewakili Poh. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain