suria

Polis tahan remaja miliki pil kuda bernilai RM75, 000

KOTA BAHARU: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 23 tahun kerana memiliki 4,600 biji pil kuda bernilai RM75,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Long Yunus, Berek 12 dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Zahruddin Abdullah berkata, suspek yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Kota Baharu ditahan di rumah keluarganya hasil maklumat orang awam dan intipan pihak polis sejak awal tahun ini.

"Serbuan dilakukan oleh pasukan polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Baharu kira-kira pukul 7.10 petang semalam.

"Ketika serbuan, suspek yang masih bujang berada berseorangan di luar rumah keluarganya sebelum ditahan dan dia kemudiannya menunjukkan pil kuda yang disembunyikan di sebuah bilik dalam rumah berkenaan," kata Zahruddin kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di bilik itu menemui sebuah kotak hadiah bersaiz besar mengandungi sebuah kotak hadiah bersaiz kecil yang mengandungi 23 paket pil kuda yang keseluruhannya berjumlah 4,600 bernilai RM75,000.

Zahruddin berkata, turut dirampas dua buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM180.00 dipercayai hasil jualan pil terbabit.

"Hasil siasatan awal pihak kita mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau. Kesemua pil yang dirampas itu kita percaya dibawa masuk dari Thailand untuk dipasarkan sekitar Kota Baharu dan daerah berhampiran," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Kanun Keseksaan Akta Dadah Berbahaya 1957. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain