suria

Tiga perompak berputih mata, rompakan tak menjadi

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol berputih mata selepas sebuah van keselamatan yang sarat dengan wang yang mereka larikan terpaksa ditinggalkan di satu lorong di Cheras kerana sistem keselamatan kenderaan tersebut menghalang mereka daripada melarikan van itu.

Kejadian kira-kira 7 petang semalam berlaku ketika empat pengawal keselamatan syarikat Mahmood Security baru selesai membuat kutipan harian milik syarikat telekomunikasi Celcom di Taman Segar, Cheras.

Dua pengawal keselamatan ketika itu berada dalam van terbabit manakala dua orang lagi berada di luar apabila mereka diserbu tiga lelaki bertopeng yang mengacukan pistol ke arah keduadua mangsa yang berada di luar.

Keempat-empat pengawal keselamatan yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dikatakan panik dan hanya melihat van mereka dilarikan suspek sebelum menghubungi syarikat.

Setiba di lorong belakang deretan premis perniagaan kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, van yang dilarikan suspek tiba-tiba tidak bergerak disebabkan sistem sekuriti kenderaan itu, menyebabkan suspek melarikan diri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata siasatan awal polis menemui selaras pumpgun dan sepucuk pistol dalam van itu.

"Van itu tidak dapat digerakkan dan pintu van terkunci dari dalam. Van itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan," katanya ketika ditemui ditempat kejadian.

Khairi berkata keempat-empat pengawal keselamatan itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata tiada sebarang tembakan dilepaskan suspek ketika kejadian dan pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran sebuah pusat membeli belah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan samun bersenjata. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain