suria

Polis syor peragut Jamilah didakwa membunuh

JOHOR BAHARU: Polis Johor telah mengesyorkan agar peragut yang menyebabkan kematian Jamilah Selamat pada 5 Mei lalu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan peragut terbabit yang kini dalam tahanan polis akan didakwa tidak lama lagi.

"Penjenayah itu merupakan seorang bekas banduan berusia 26 tahun yang mempunyai enam rekod jenayah sejak 2003 dan sedang khayal kerana mengambil pil Eramin 5 ketika ditangkap di Banang Jaya, Batu Pahat pada 6 Mei lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditangkap, penjenayah itu juga memiliki sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri di Simpang Renggam.

Ekoran penangkapan lelaki itu, polis telah menemui semula barangan mangsa berupa beg kecil berwarna hitam berisi antara lainnya kad pengenalan mangsa. Jamilah, 32, yang hamil dua bulan, koma akibat cedera di kepala selepas terjatuh daripada motosikal semasa diragut di Ayer Hitam, dekat Batu Pahat pada 3 Mei lalu.

Mengenai kes lain, Mokhtar berkata polis telah menahan lima lelaki sejak 13 Mei lepas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia di sekitar perairan Pengerang.

Kesemua mereka yang berusia antara 35 dan 48 tahun akan disiasat berhubung kejadian bot karam yang mengorbankan enam warga Pakistan pada 28 April dan lapan warga Indonesia pada 12 Mei lepas.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain