suria

Pendatang asing tanpa izin kedua warga Myanmar mati akibat Leptospirosis

PULAU PINANG: Seorang lagi pendatang asing tanpa izin warga Myanmar disahkan meninggal dunia di Depot Imigresen Juru akibat penyakit Leptospirosis.

Ketua Pengarah Imigresen, Abdul Rahman Othman berkata 24 lagi tahanan masih masih lagi dirawat di dua hospital di sini kerana dipercayai menghidap penyakit berkenaan.

Mangsa pertama meninggal pada 12 Mei lalu.

Abdul Rahman berkata Jabatan Imigresen telah meminta bantuan kedutaan Myanmar untuk menguruskan mayat dua rakyatnya itu.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa jabatan telah menghantar surat kepada kedutaan Myanmar untuk memaklumkan mengenai kematian itu selain berhubungan melalui telefon untuk memberitahu perkembangan terkini rakyat negara itu yang dijangkiti penyakit berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Mayat Thang Hoih Ping, 21, dan Sa La Hian, 26, masih berada di bilik mayat Hospital Bukit Mertajam.

"Kita tidak tahu sama ada pihak kedutaan mahu menuntut dan menghantar pulang mayat dua rakyatnya itu atau mahu dibakar di sini," katanya.

Abdul Rahman berkata, daripada 553 pendatang tanpa izin yang ditahan di Depot Juru itu, 26 dijangkiti penyakit itu dan dua daripadanya meninggal dunia manakala 23 dirawat di Hospital Bukit Mertajam dan seorang lagi di Hospital Seberang Jaya.

Katanya, daripada 24 lelaki yang masih dirawat itu, 22 adalah rakyat Myanmar manakala bakinya rakyat Bangladesh dan keadaan mereka ketika ini dilaporkan stabil.

Leptospirosis ialah penyakit yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang disebarkan melalui air kencing haiwan seperti tikus dan ia boleh merebak kepada manusia melalui kesan luka, mandi dan minum air yang dicemari atau terkena gigitan haiwan yang membawa penyakit itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain