suria

Pemilihan PAS: Harun menang tanpa bertanding jawatan Ketua Dewan Ulama

KUALA LUMPUR: Keputusan tidak rasmi bagi pemilihan jawatan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat menyaksikan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib menang tanpa bertanding.

Keputusan itu dibuat berdasarkan hanya satu nama dicalonkan untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustapa Ali bagaimanapun berkata keputusan tersebut hanya berdasarkan kepada jumlah pencalonan yang diterima sehingga tarikh tutup 17 Mei lalu.

"Kalau dia jawab pada kaedahnya dia menang tanpa bertandinglah...tapi kita memerlukan jawatan bertulis.

"Seperti yang saya kata, kalau tak ada jawapan bertulis, maknanya dia tidak berminat," katanya dalam sidang media bagi mengumumkan senarai calon layak bertanding bagi pemilihan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat pada muktamar tahunan ke-55 parti itu, bulan depan.

Mustafa juga mengumukan jawatan Timbalan Ketua Dewan Ulama menyaksikan penyandangnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Hashim Jasin berdepan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.

Jelas beliau lagi jawatankuasa pemilihan akan menghantar surat tawaran bertanding bagi calon-calon yang layak bertanding mulai hari ini.

"Kita akan hantar surat tawaran hari ini dan mereka perlu jawab surat tawaran tersebut secara bertulis sebelum 25 Mei ini.

"Kalau mereka tak jawab kita akan anggap mereka tidak berminat untuk jawatan itu.

"Jadi pada 26 Mei kita akan adakan satu lagi sidang media bagi mengumumkan senarai muktamd calon yang akan bertanding kerana kita jangka akan ada yang tarik diri," katanya.

Bagaimanapun Mustafa enggan mendedahkan jumlah pencalonan yang diterima bagi setiap calon yang layak bertanding.

"Jumlah pencalonan yang diperoleh tak boleh didedahkan, tapi individu itu sendiri boleh beritahu," katanya.

Jelas beliau Jawatankuasa Pemilihan menerima lapan pencalonan daripada 13 negeri bagi Dewan Ulama, dan masing-masing 12 pencalonan daripada 14 negeri bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

"Pencalonan tak penuh disebakan kelewatan surat pencalonan dihantar kepada kita, bila hantar lewat daripada tarikh tutup kita dah tak terima," katanya.

Sementara itu bagi pemilihan jawatan Ketua Dewan Pemuda menyaksikan saingan satu lawan satu antara Nasrudin Hassan dan Zaki Ibrahim.

Seramai lima orang akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda antaranya Setiausaha Dewan Pemuda, Ahmad Shabki Yusof yang akan bertanding untuk dua jawatan lagi iaitu Timbalan Ketua dan Naib Ketua.

Mustafa berkata jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda pula akan menyaksikan lima calon bertanding termasuk anak Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Sementara itu Azman Shapawi Abd Rani akan bertanding bagi mempertahankan jawatannya sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda dan seramai 45 orang dicalonkan bertanding sebagai ahli jawatankuasa pusat Dewan Pemuda.

Manakala bagi jawatan Ketua Dewan Muslimat menyaksikan saingan empat penjuru apabila penyandangnya kini iaitu Nuridah Salleh bakal dicabar tiga calon lain itu Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Dr. Asiah Ali dan Azizah Khatib Mat.

Seramai empat orang akan bertanding jawatan timbalan ketua, termasuk penyandangnya, Wan Hasrina Wan Hassan.

Dr Siti Mariah dan Azizah yang dicalonkan untuk jawatan ketua, turut dicalonkan bagi merebut jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat bersama dengan anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Senator Mumtaz Md Nawi, Siti Zailah dan anggota Exco kerajaan Kelantan, Wan Ubaidah Omar.

Seramai 39 orang dicalonkan untuk merebut 12 tempat sebagai anggota jawatankuasa pusat Dewan Muslimat termasuk anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali dan anggota Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain