suria

Krisis Perak: Jangan beri pandangan peribadi, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) diminta mengelak daripada memberi pandangan peribadi berhubung isu politik di Perak kerana kenyataan yang dikeluarkan itu mungkin akan disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang keputusan berhubung isu itu hanya akan dibuat selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung status Menteri Besar Perak.

"Kalau ada pihak yang hendak buat pandangan sendiri, itu pandangan masing-masing, bukan pandangan parti (Barisan Nasional).

"Eloknya kita tidak buat satu kenyataan yang boleh disalah tafsir. Sebaik mungkin, jangan ada pandangan peribadi," katanya selepas majlis pelancaran koleksi buku terjemahan siri sastera Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbincangan yang diadakan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengenai krisis politik di Perak.

Muhyiddin berkata, semua parti komponen BN perlu berpegang kepada keputusan yang dibuat BN semalam iaitu tidak membincangkan isu ini sehingga mahkamah membuat keputusan.

"Kita sandarkan keputusan pimpinan BN. Kita harus berpegang kepada prinsip BN... muafakat, jadi percanggahan hanya hendak melawan satu sama lain.

"Sebelum ini Gerakan, lepas itu MCA. Kita hendak cerminkan semangat perpaduan yang erat," katanya.

Mengenai keputusan BN tidak meletakkan calon di Penanti, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno memberitahu, pihak pembangkang berhak untuk berkata apa pun berhubung pendirian BN yang tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini kerana mempunyai alasan yang kukuh dalam membuat keputusan itu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pihaknya telah memberi penjelasan yang cukup mantap berhubung sebab BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil yang dijadual 31 Mei ini.

"Tidak apalah... apa dia boleh katalah, itu keputusan yang telah dibuat Dewan Tertinggi BN semalam.

"Pengerusi BN, Datuk Seri Najib (Tun Razak) telah umumkan rasional dan segalanya. Mereka (pembangkang) boleh kata apa pun.

"Kita pun ada asas-asas yang kukuh, sebab musabab kenapa kita buat keputusan begitu," katanya.

Semalam BN memutuskan untuk tidak meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil DUN Penanti kerana kekosongan di kerusi itu bukan disebabkan oleh peruntukan dalam Perlembagaan, sebaliknya dikatakan hanya mainan politik pembangkang.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menafikan bahawa keputusan tidak meletakkan calon itu akan memberi kesan tidak baik kepada BN.

Ketika ditanya sama ada keputusan itu juga akan menyebabkan BN akan terus 'dibelasah' oleh pembangkang, Muhyiddin berkata: "Tiada pilihan raya pun, dia belasah kita dan kita pun belasah dia.

"Sekarang pun, dia sudah kempen ke sana ke mari 'belasah' kita... bukan kita tidak tahu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain