suria

Saya konsisten, tidak risau ugutan Anwar - Anifah

PETALING JAYA: Menteri Luar, Datuk Anifah Aman berkata, beliau tidak akan menarik balik kenyataannya yang mendakwa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri jika menyertai pembangkang bentuk kerajaaan pusat.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata beliau mempunyai banyak tugasan penting yang perlu diselesaikan dan tidak risau akan ugutan saman yang dibuat oleh Anwar terhadapnya.

"Saya tidak risau tentang Anwar (ugutan saman). Saya masih konsisten dengan apa yang saya cakap sebelum ini," katanya kepada mStar Online semalam.

"Sebagai Menteri Luar, saya ada banyak perkara lebih penting untuk diselesaikan terutamanya masalah krisis ekonomi yang melanda dunia ketika ini," jelasnya.

Sabtu lalu, Anwar menafikan kenyataan Anifah bahawa beliau menawarkan jawatan timbalan perdana menteri sebagai umpan untuk melompat parti selepas pilihan raya umum 2008.

Dalam kenyataan di sini, peguam S. N. Nair, yang mewakili Anwar, berkata anak guamnya itu mahu Anifah menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf dalam tempoh 24 jam berhubung tuduhan itu.

Dalam satu sidang media bersama Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton Jummat lalu, Anifah mendakwa Anwar telah menawarkan jawatan timbalan perdana menteri sebagai ganjaran jika beliau melompat parti dan menyertai Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Sebelum ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat telah menyatakan bahawa beliau akan membentuk sebuah kerajaan pada 16 September tahun lepas tetapi telah banyak kali mengubah tarikh tersebut.

Mengulas lanjut mengenai isu itu Anifah menegaskan bahawa Anwar perlu menghormati sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dan keputusan pilihan raya lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain