suria

Pilihan raya bukan pilihan selesaikan krisis politik Perak?

PETALING JAYA: Di sebalik pelbagai syor agar diadakan perbincangan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat perlu 'bertenang' sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung status Menteri Besar Perak, kata penganalisis-penganalisis politik.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, isu perbincangan yang melibatkan kedua-dua parti itu berhubung krisis politik di Perak bukan satu keperluan buat masa ini.

"Kedua-dua pihak perlu bertenang terlebih dahulu sehingga mahkamah putuskan siapa Menteri Besar yang sah.

"Selepas itu nanti, barulah mana-mana pihak yang menang itu boleh melakukan tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesediaan BN dan Pakatan untuk sama-sama duduk berbincang bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda Perak.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana beliau tidak pernah meletak jawatan dan tidak ada sebarang undi tidak percaya yang dilakukan terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu pada Selasa lalu dan Mahkamah Rayuan memutuskan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi ditangguhkan buat sementara waktu.

Nizar bagaimanapun keesokan harinya telah memfailkan rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

"Biar mahkamah tentukan. Kita tidak boleh mendahului mahkamah dan keadaan ini juga sedang berkecamuk.

"Kalau mereka nak buat sidang DUN khas pun, akan timbul pula isu siapa Menteri Besar yang boleh menghadap Sultan dan Speaker yang sah pun kita tidak tahu siapa," katanya.

Beliau berkata, pilihan raya bukanlah alternatif dalam menyelesaikan krisis politik di Perak kerana hak rakyat untuk memilih wakil mereka dalam DUN telah diputuskan pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

"Tidak perlu untuk kembalikan ia kepada rakyat kerana mereka telah memutuskannya. "Sekarang, keputusan untuk menubuhkan kerajaan dan memilih Menteri Besar terletak di tangan ADUN," katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Pembangunan Sosial UUM, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, BN dan Pakatan boleh mengadakan perbincangan itu asalkan tidak menyentuh isu-isu yang melibatkan mahkamah.

"Kita tak tahu apa fokus perbincangan itu dan ia tidak tertakluk kepada apa yang diputuskan mahkamah.

"Pada saya, lebih baik perbincangan itu diadakan kerana mungkin ia akan dapat memulihkan sedikit hubungan antara kedua-dua parti," katanya.

Beliau berkata, jika pertemuan itu diadakan, ini adalah yang pertama melibatkan BN dan Pakatan.

Sementara itu, pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman berkata, jika pertemuan itu benar-benar ingin diadakan, BN sebagai parti pemerintah perlu mengambil langkah pertama ke arah menjayakan perbincangan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain