suria

Pertemuan BN, Pakatan hanya selepas kes mahkamah selesai

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, BN hanya akan membincangkan isu politik di Perak dengan Pakatan Rakyat selepas mahkamah memutuskan kedudukan kerajaan sebenar di negeri itu.

Beliau berkata, buat masa ini, isu kerajaan Perak masih lagi dalam proses mahkamah dan semua pihak harus menghormatinya.

"Kalau kita nak tentukan berunding dengan pembangkang pun, kita mesti tentukan bahawasanya kedudukan di sisi undang-undang mesti disahkan oleh mahkamah.

"(Selepas diputuskan) barulah kita boleh berunding dengan parti pembangkang.

"Masing-masing mesti menghormati proses undang-undang dan tidak melakukan apa-apa yang boleh menimbulkan kekacauan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana beliau tidak pernah meletak jawatan dan tidak ada sebarang undi tidak percaya yang dilakukan terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu pada Selasa lalu dan Mahkamah Rayuan memutuskan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi ditangguhkan buat sementara waktu.

Mohammad Nizar bagaimanapun keesokan harinya telah memfailkan rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Selain itu, Najib berkata, keputusan sama ada BN akan mengusulkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi melakukan undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan.

"Kita serahkan kepada kerajaan negeri. Mereka mesti memutuskan tentang perkara ini dan juga harus membincangkannya dengan Sultan," katanya. Katanya, isu Perak tidak boleh dibincangkan secara terbuka memandangkan ia masih dalam proses mahkamah.

Berhubung kenyataan Hindraf yang memberi kata dua kepada kerajaan bahawa mereka akan mengadakan demonstrasi jalanan jika ketua pertubuhan itu, P Uthayakumar dan pemimpin-pemimpin lain yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini dihadapkan ke Badan Penasihat ISA, Najib berkata, mereka semua perlu mematuhi undang-undang.

"Tidak ada sesiapapun yang boleh bagi kata dua.

"Kita sudah membuktikan bahawa kerajaan ini kerajaan yang bertimbang rasa, bukanlah kerajan yang zalim atau yang nak menekan mana-mana pihak.

"Asalkan dia menghormati undang-undang negara, kita juga akan menguatkuasakan undang-undang dengan cara berhemah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain