suria

Penumpang wanita penerbangan MH091 dikuarantin selepas demam

JOHOR BAHRU: Seorang penumpang wanita penerbangan MH091 dihantar dan dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah Hospital (HSA) di sini, semalam selepas beliau mengalami demam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Mohd Khairi Yaakob berkata satu ujian klinikal telah dilakukan terhadap wanita itu bagi mengenalpasti sama ada beliau dijangkiti virus influenza A (HIN1).

"Kami masih menunggu keputusan ujian berkenaan," kata beliau, yang enggan mendedahkan maklumat lanjut.

Sebelum ini, wanita itu dikuarantin di rumahnya di sini dengan tiga lagi penumpang, iaitu dua lelaki dan seorang wanita sejak Jumaat.

Malaysia mencatatkan kes H1N1 pertama apabila seorang penuntut berusia 21 tahun yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH091 dari Newark, New Jersey, ke KLIA melalui Sweden pada 13 Mei didapati dijangkiti virus itu. Sementara itu, seorang warga Thailand, yang dikuarantin di HSA Sabtu lalu dibenarkan pulang selepas keputusan ujian yang dilakukan terhadapnya negatif.

Dua warga asing, yang sedang bercuti di sebuah pulau di negeri ini, dikuarantin di hotel penginapan mereka sejak Sabtu lalu.

Dr Mohd Khairi berkata mereka belum lagi menunjukkan sebarang simptom jangkitan virus itu tetapi Jabatan Kesihatan sedang memantau mereka dengan teliti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain