suria

Pemuda Umno minta SPRM siasat dakwaan 'politik wang' dalam PAS

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlakunya 'politik wang' dalam PAS menjelang Muktamar ke-55 parti itu bulan depan.

"Kenyataan (Mursyidul Am PAs) Datuk Nik Abdul Aziz (Nik Mat) dan dakwaan Ketua Dewan Ulama PAS (Datuk Mohamed Daud Iraqi) berkenaan soal politik wang dalam pemilihan parti PAS mengesahkan berlakunya perlakuan itu," katanya kepada Bernama.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, dilapor berkata bahawa beliau amat dukacita dan sedih kerana kegiatan yang tidak bermoral itu turut melanda PAS.

Beliau dilaporkan berkata: "Nasihat saya, jika calon memberikan kita sagu hati kita terima. Kalau dia beri kain kita pakai. Bagi lembu kita sembelih tetapi jangan undi dia".

Minggu lepas, Mohamed Daud mendakwa mendapat laporan berlaku unsur sogokan seperti memberikan baju dan mengadakan majlis makan oleh calon pada kempen kali ini.

Razali berkata kedua-dua pemimpin PAS itu membuat kenyataan tanpa tekanan dan dakwaan itu seharusnya disiasat oleh SPRM.

"Ini bukan soal diberi ambil tapi jangan undi mereka yang memberi tetapi ia melibatkan pengakuan tentang berlakunya soal penggunaan wang secara salah," kata Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain