suria

Dua ditahan bantu siasatan kes culik, bunuh kanak-kanak

IPOH: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes culik dan bunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, yang mayatnya ditemui di muara sungai Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata lelaki berusia dalam lingkungan 30an dan bekerja sebagai nelayan itu ditahan di rumah mereka di Bagan Tiang, dua hari lepas.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu polis menjalankan siasatan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Fauzi berkata dengan tangkapan itu, polis kini telah menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes itu. Suspek pertama, seorang penganggur di tahan pada 14 Mei lepas di sebuah rumah juga di Bagan Tiang dan masih direman.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif penculikan dan pembunuhan itu, sama ada ia berkaitan masalah dendam, hutang atau salah faham.

Pada kirakira pukul 10 malam 11 Mei lepas, Lee Li Xuan, 3, dikatakan diculik seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Aeroback berhampiran rumah datuknya di Bagan Tiang.

Ketika kejadian, kanak-kanak itu dikatakan berjalan kaki seorang diri ke rumah datuknya di Bagan Tiang yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain