suria

Hadi kekal Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mengekalkan jawatan Presiden PAS penggal ketiga berturut-turut.

Hadi disahkan menang tanpa bertanding apabila mendapat 136 pencalonan daripada 137 kawasan PAS yang bermesyuarat sebelum 8 Mei lalu.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS Jalan Raja Laut semalam.

"Bagi jawatan Presiden hanya satu calon yang layak iaitu Tuan Guru Hadi (Awang)dan beliau sudah menghantar surat jawapan kepada tawaran yang kami. Kalau ikut kaedahnya beliau (Hadi) telah menang tanpa bertanding," katanya ketika mengumumkan calon-calon yang layak bertanding dalam pemilihan parti Jun ini.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, lima orang calon layak bertanding, mereka ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Timbalan Muryidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din, dua Naib Presiden PAS sedia ada, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu serta termasuklah penyandang jawatan, Nasharudin Mat Isa.

Manakala, 16 lagi layak bertanding untuk jawatan Naib Presiden.

Ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden PAS sedia ada turut dicalonkan, mereka ialah, Ahmad Awang, Mohamad Sabu, dan Husam Musa.

Tiga belas calon lain terdiri daripada, Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Dr Harun Taib, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali, Idris Ahmad, Datuk Kamaruddin Jaffar, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar

Turut dicalonkan adalah, Exco Kerajaan Negeri Kelantan Mohamad Amar Abdullah, Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa, Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Baling, Taib Azamuddin dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Mustafa ini merupakan kali pertama, dalam sejarah pemilihan parti apabila begitu ramai calon layak bertanding jawatan tersebut.

Dalam pada itu, seramai 86 orang lagi dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Pertandingan bagi jawatan AJK pusat adalah untuk 18 kerusi, manakala enam lagi kerusi AJK dilantik oleh parti.

Sementara itu, Mustafa berkata jumlah pencalonan bagi jawatan utama selain Presiden perlu dirahsiakan kerana jawatankuasa pemilihan tidak mahu orang membuat spekulasi.

"Kita tak nak orang buat spekulasi sebab itu umumkan hari ini. Ini bagi memudahkan calon membuat pertimbangan sama ada nak bertanding atau tidak.

"Tapi kalau nak tanya daripada calon terpulang kepada anda. Jika anda tanya setiap calon mereka akan dapatla," katanya.

Bagaimanapun jelas Mustafa, senarai calon muktamad yang akan bertanding bagi jawatan utama parti, termasuk Pemuda dan Muslimat akan diumumkan pada 26 Mei depan.

"Kita pasti akan ada calon-calon yang akan menarik diri kerana ikut kebiasaannya begitu. Mana-mana calon yang tidak menjawab surat tawaran yang dihantar, kita anggap mereka tidak berminat untuk bertanding," katanya.

PAS mempunyai 176 kawasan di seluruh negara dan bagaimanapun 137 kawasan yang menghantar pencalonan bagi semua jawatan tertinggi dalam parti.

Kira-kira 1000 hingga 1100 perwakilan akan menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-55 awal bulan depan.

Mengenai aduan politik wang Mustafa yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS pusat berkata: "Kami diperingkat jawatankuasa pun belum terima apa-apa laporan orang mengadu tentang salah laku ahli-ahli parti. Duit ke hadiah ke tak de..."

Jelasnya, penulisan dalam blog tidak boleh dijadikan rujukan mengenai isu politik wang menjelang pemilihan parti kerana dalam mereka boleh menulis apa sahaja. Ketika ditanya mengenai mekanisma pemantaun yang digunakan menjelang pemilihan parti yang akan berlangsung awal bulan depan, Mustafa berkata: "Dalam PAS ini kita percaya kepada kenyakinan yang ahli parti tidak rasuah. Itu saja."

"Soal kepimpinan soal tanggungjawab Kalau orang itu sendiri sudah tidak ada integriti tak perlu dipilih. Masing-masing ikhlas dalam perjuangan jadi tak perlu mekanisma lain," katanya.

Tegasnya, beliau tidak risau kerana yakin perkara itu tidak berlaku dalam PAS.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain