suria

Politik wang: Ketua Dewan Ulama PAS tak konsisten?

PETALING JAYA: Kenyataan tidak konsisten Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mohamed Daud Iraqi berhubung wujudnya rasuah politik dalam parti itu menimbulkan kesangsian terhadap kesahihan dakwaannya.Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar melahirkan perasaan was-wasnya berhubung sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut dan mahukan Mohamed mengemumakan bukti-bukti kukuh yang berkaitan untuk diteliti dan disiasat.

"Sekarang kita pun susah nak cakap mengenai sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

"Mula-mula dulu Datuk Mohamed Daud kata memang ada perbuatan rasuah dalam parti, tapi dalam akhbar hari ini beliau kata tidak menuduh mana-mana pihak dan minta jika ada (perbuatan) rasuah minta dihentikan.

"Jadi nampaknya beliau sendiri seolah-olah tidak pasti tentang rasuah politik seperti yang didakwanya itu," katanya kepada mStar Online.

Selasa lalu Mohamed mendedahkan bahawa perebutan kuasa dalam PAS semakin ketara sehingga ada individu sanggup memberikan 'hadiah' kepada perwakilan untuk mendapatkan sokongan pada pemilihan parti itu Jun depan.

Mohamed memberitahu, terdapat sesetengah calon yang telah membuat jamuan dan memberi baju kepada perwakilan untuk melobi supaya memenangi jawatan yang bakal ditandingi.

Kamaruddin juga berkata kenyataan tidak konsisten sedemikian menyukarkan parti untuk mengambil sebarang tindakan susulan.

Ditanya sama ada kepimpinan PAS Pusat akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat berhubung kegiatan rasuah yang didakwa menular dikalangan pemimpin parti, Kamaruddin berkata perkara tersebut masih belum dibincangkan.

"Lagipun kesnya tidak pasti, sekejap kata ada, sekejap lagi kata percaya ada, jadi untuk bentuk satu jawatankuasa menyiasat bukan persoalannya lagi kerana ia bukan satu keperluan buat masa ini," katanya.

Bagaimanapun Kamaruddin berkata PAS Pusat akan memanggil Mohamed dalam masa terdekat ini untuk mendapat maklumat lanjut mengenainya.

"Mohamed perlu buktikan apa yang didakwanya sebelum ini benar-benar berlaku, dan beliau perlu kemukakan bukti-bukti yang diperlukan.

"Kalau benar apa yang didakwanya itu, kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Artikel Lain