suria

Pakatan tidak letak syarat selesai krisis Perak

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Prof Dr. Syed Husin Ali menegaskan Pakatan Rakyat tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam usaha menyelesaikan krisis politik Perak.

Sebaliknya beliau menjelaskan, Pakatan masih berpegang pada prinsip bahawa mereka bersedia berjumpa dengan Najib pada bila-bila masa yang bersesuaian.

Bagaimanapun Syed mendakwa, Najib yang juga Presiden Umno yang telah menetapkan syarat-syarat tertentu seolah-olah tidak mahu pertemuaan tersebut diadakan.

"Macam yang kita cakap kelmarin dalam mesyuarat Pakatan, kita sedia jumpa dengan beliau (Najib) bila-bila masa yang sesuai.

"Kita tidak letakkan apa-apa syarat cuma kita mahu kuasa memilih kerajaan di Perak dikembalikan kepada rakyat," katanya kepada mStar Online hari ini.

Syed Husin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Najib semalam yang beliau sekali lagi mengulangi kesediaannya untuk bertemu pemimpin pembangkang.

Perdana Menteri mengulangi kesediaan bertemu pemimpin pembangkang, malah akan menetapkan tarikhnya asalkan mereka tidak mengenakan sebarang syarat.

"Kalau setakat nak berbincang, Kita boleh bincang, tidak ada masalah. Saya sedia bertemu tapi jangan ada syarat. Nanti kita tetapkan tarikhnya dan masa yang sesuai," kata Najib kepada wartawan Malaysia di Sidang Kemuncak Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang semalam.

Kelmarin, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis politik Perak perlu diselesaikan segera dan meminta Sultan membubarkan DUN Perak bagi mengadakan pilihan raya kecil yang adil.

Artikel Lain