suria

Mayat lelaki putus tangan ditemui

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan keadaan tangan kirinya terputus di kaki lima sebuah restoran di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib berkata mayat Nurul Amir, 39, ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan tikaman di badannya, oleh pemilik restoran itu yang baru hendak mulakan perniagaannya kirakira pukul 7.20 pagi.

Beliau berkata warga asing itu dipercayai mati akibat kecederaan teruk di dada dan badan, dengan tangan kiri terputus dari siku ke bawah, dan tangan itu ditemui kira-kira 50 meter dari tempat mayat ditemui.

"Polis percaya lelaki itu diserang di tepi jalan Taman Sri Sentosa, tetapi sempat berlari sebelum jatuh di hadapan restoran berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya polis percaya lelaki itu ditetak dengan benda tajam, namun senjata yang digunakan masih belum ditemui sehingga ini.

Wan Abdul Bari berkata mayat sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi ASP Nik Ros Azhan Nik Rozam dengan menelefon 03-22742222 sambungan 188, atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Brickfields bagi membantu siasatan.

Sementara itu di Kulim, Kedah, mayat seorang lelaki yang dipercayai mangsa bunuh dijumpai terapung di aliran Sungai Sedim, Kampung Teruna, oleh beberapa penduduk tempatan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata mayat ditemui pada kirakira pukul 5.30 petang dan polis masih belum dapat mengenal pasti identiti lelaki berumur lingkungan 40an itu.

Beliau berkata laporan bedah siasat mendapati terdapat kesan tikaman senjata tajam dibahagian leher serta mulut lelaki itu, manakala di bahagian kepalanya pula terdapat kesan luka akibat hentakan dengan benda keras serta tumpul, dan polis percaya lelaki itu meninggal dunia sejak dua hari lepas.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhububng lelaki itu supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kulim dengan menelefon 04-4906222 bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain