suria

H1N1: Najib mahu pemeriksaan di pintu masuk negara diperketat

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemeriksaan terhadap penumpang di pintu masuk negara, terutamanya penerbangan dari Amerika Syarikat dan negara lain yang dilanda wabak influenza A (H1N1), diperketatkan.

Malaysia perlu mengambil tindakan yang sangat rapi bagi mengekang serangan penyakit itu daripada menular ke dalam negara, katanya.

Beliau berkata pemeriksaan rapi itu perlu kerana mereka yang tiba dari negara yang dilanda dengan wabak itu mungkin menghidap penyakit itu tanpa diketahui oleh mereka.

"Yang masalahnya dalam keadaan ekonomi terbuka, amat sukar sebab mereka boleh datang dari pelbagai penjuru dan penjuru itu tidak semestinya tempat permulaan perjalanan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengesahan kes kedua H1N1 di negara ini. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat hari ini berkata kes kedua itu melibatkan pelajar yang baru kembali dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lepas dan sedang dikuarantin di Hospital Pulau Pinang.

Pelajar itu merupakan teman pelajar kes pertama yang kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, dekat sini yang samasama menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dari Newark, New Jersey.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan larangan ke luar negara, Perdana Menteri berkata:"Tak ada...setakat ini tidak ada larangan." BERNAMA

Artikel Lain