suria

Gara-gara enggan serah RM1, pelajar dibelasah hingga pengsan

KOTA BAHARU: Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dibelasah kirakira 20 pelajar lain setelah enggan memberikan RM1 sebagai "bayaran perlindungan" dalam kejadian yang berlaku Khamis lepas.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai "angah", dibelasah sehingga pengsan oleh kumpulan pelajar terbabit berhampiran sekolah tersebut selepas tamat waktu persekolahan.

"Kumpulan itu membelasah saya kerana enggan memberikan RM1 kerana pada hari itu saya memerlukan wang untuk mengisi minyak motosikal.

"Tindakan itu telah menyebabkan pelajar berkenaan naik marah dan memukul saya selepas tamat waktu sekolah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pelajar itu yang baru sahaja berpindah ke sekolah itu sejak awal bulan ini kerana mengikut keluarga dari Kuala Lumpur diminta membayar RM1 setiap hari kepada kumpulan itu sebagai bayaran perlindungan.

"Sebelum ini saya membayar RM1 seperti diminta namun pada hari Khamis lalu saya perlukan duit itu untuk isi minyak, namun mereka telah mengugut untuk merosakkan motosikal saya," katanya.

Beliau berkata apabila tamat waktu persekolahan, salah seorang kumpulan itu telah memintanya pergi ke satu tempat berhampiran sekolah yang untuk "lepak" namun ketika sampai di situ, mangsa dipukul beramai-ramai sehingga pengsan.

Pelajar itu kemudiannya dihantar menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan.

"Beberapa bahagian badan seperti kepala, lengan dan di beberapa tempat masih terasa sakit selepas kejadian dan saya membuat laporan polis di Balai Polis Binjai," katanya.

Beliau berkata ibunya akan ke sekolah esok untuk bertemu pengetua bagi membincangkan perkara itu. Buat masa ini pelajar berkenaan belum bercadang untuk berpindah sekolah.

"Saya harap satu jalan penyelesaian akan diambil berikutan kejadian ini," kata pelajar itu.

Sementara itu Ketua Polis Kota Baharu ACP Zahruddin Abdullah gagal dihubungi untuk mendapatkan laporan kejadian. BERNAMA

Artikel Lain