suria

Polis buru suspek geng samun

KUALA LUMPUR: Polis memburu dua suspek geng samun yang melarikan diri ketika polis cuba memberkas kumpulan samun itu di kawasan Taman Taynton View, Cheras semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata Mohd Yushelmi Yusof, 21, dan Ganesh A/L Ramanmusam, 25, yang menetap di Flet Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras melarikan diri dalam kejadian pukul 6.45 petang semalam apabila polis menembak mati seorang suspek dan menahan seorang lagi selepas polis mengejar mereka sejauh kira-kira empat kilometer.

Sebelum itu, kereta jenis Proton Waja berwarna hitam yang dinaiki empat suspek berusia lingkungan 20an itu terserempak dengan kereta peronda polis di Jalan Tiram, Taman Mutiara Barat sebelum suspek memecut laju sehingga melanggar beberapa kenderaan termasuk sebuah bas sekolah.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ahmad Amir berkata dengan penahanan seorang suspek itu, polis percaya sekurangkurangnya 55 kes jenayah dalam tiga bulan ini berjaya diselesaikan iaitu curi kereta, samun dan 30 kes ragut.

"Kumpulan samun ini dipercayai aktif menjalankan aktiviti mereka sejak tahun ini di sekitar Cheras. Mereka didapati menggunakan kereta, motosikal atau teksi curi untuk meragut dan menyamun mangsa.

"Kereta Waja yang dipandu mereka dilaporkan baru sahaja dicuri pagi semalam di sekitar kawasan LRT Bandar Tasik Selatan. Hasil siasatan ke atas suspek, polis turut menemui dua lagi kereta curi iaitu sebuah Proton Iswara dan sebuah teksi jenis Iswara di Flet Sri Kota itu," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas ketigatiga kereta curi itu membawa kepada penemuan barangan samun dan beberapa peralatan untuk kegiatan pecah rumah, parang, komputer, penapis air, parang samurai, dokumen-dokumen mangsa samun selain beberapa beg tangan.

Seorang pemberita akhbar Oriental Daily dipercayai turut menjadi mangsa samun kumpulan itu berdasarkan penemuan kad pengenalan dan kad media beliau.

"Kami percaya mereka menyamun kerana mahukan wang dengan cepat untuk bekalan dadah mereka malahan suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Beliau berkata suspek yang ditembak mati dan suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain