suria

Muhyiddin minta pimpinan PPP segera selesai masalah dengan ROS

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pimpinan tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) bertindak segera menyelesaikan sebarang masalah yang boleh menyebabkan parti itu dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Beliau berkata PPP mesti mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh ROS bagi mengelakkan tindakan dikenakan.

"Kita harap pimpinan tertinggi PPP akan bertindak dengan secepat mungkin berjumpa dengan pendaftar (ROs), kalaulah ada sedikit sebanyak apaapa masalah biasanya ia boleh pertimbangkan dapat lanjutan tetapi mesti berjumpa ROS supaya segala kehendak yang ditetapkan dalam undangundang itu dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang menyebut Presiden PPP Datuk M. Kayveas langsung tidak menghantar senarai anggota jawatankuasa PPP dan laporan kewangan parti kepada ROS sejak tahun 2002.

Mengikut laporan itu, difahamkan, PPP hanya menunggu masa sahaja untuk dibatalkan pendaftarannya oleh ROS kerana kesalahan tersebut.

Muhyiddin berkata "kita mahu PPP masih kekal dan serah kepada pihak pimpinan PPP untuk ambil tindakan mengatasi masalah itu".

Beliau juga mahu pemimpin tertinggi PPP menyelesaikan sebarang masalah dalaman yang berlaku dalam parti itu.

Mengenai krisis politik di Perak, Timbalan Perdana Menteri berkata: "Perkara itu masih di peringkat mahkamah dan elok semua pihak menunggu sehingga kes mahkamah selesai." BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain