suria

Polis Terengganu sita 125 buah motosikal mat rempit

KUALA TERENGGANU: Polis menahan lima lelaki dan menyita sebanyak 125 buah motosikal dalam operasi cegah lumba haram yang diadakan di sekitar bandaraya ini selama 12 hari bermula 2 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Abd Halim Ishak berkata, kelima-lima lelaki itu termasuk seorang daripadanya positif dadah ditahan dalam operasi yan dijalankan di 14 kawasan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan mat rempit melakukan lumba haram.

"Kelima-lima yang ditahan itu berumur antara 17 hingga 20 tahun dan empat daripadanya didapati telah menunggang secara melulu serta berbahaya yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya dalam operasi yang turut disertai oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), polis sukarela dan polis tugas am itu, sebanyak 1,465 buah motosikal dan seramai 1,540 orang diperiksa dengan sebanyak sebanyak 683 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan tiada insurans.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti lumba haram supaya menghubungi polis di talian Rakan Cop atau bilik gerakan Trafik IPD Kuala Terengganu di talian 09-6312222. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain