suria

Tidak ada resolusi sokong golongan mana daripada PAS Selangor

SHAH ALAM: PAS Selangor tidak membincangkan atau mengeluarkan resolusi bagi menentukan sama ada untuk memilih kepimpinan golongan ulama atau profesional dalam pemilihan parti pada muktamar yang akan diadakan di sini bulan depan.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata ini kerana pemilihan kepimpinan parti itu akan ditentukan oleh perwakilan dari seluruh negara dan bukan peringkat negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PAS Selangor terhadap kepimpinan ulama atau profesional dalam pemilihan parti nanti.

"Kita tak bincangpun sama ada ulama atau golongan profesional kerana ini secara tradisinya kepimpinan PAS adalah kepimpinan ulama," katanya selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia selama dua hari yang bermula di sini hari ini. Tidak ada arahan dikeluarkan di peringkat negeri untuk memilih calon-calon tertentu setakat ini, tambahnya.

Beliau mendakwa polemik mengenai kepimpinan PAS daripada golongan ulama atau profesional ditimbulkan oleh pihak media bukannya anggota parti.

Iskandar berkata dari dahulu lagi sudah ada golongan profesional seperti beliau yang menjadi pemimpin dalam kepimpinan PAS negeri tetapi kenapa baharu sekarang soal ini dijadikan isu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain