suria

SPR-Pakatan setuju larangan pondok panas ditarik balik

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pakatan Rakyat bersetuju supaya larangan bagi parti-parti politik untuk mengadakan pondok panas ditarik balik.

Persetujuan tersebut dicapai oleh kedua-dua pihak setelah merujuk peruntukan undang-undang bahawa proses semakan daftar pemilih di pondok panas yang terletak 50 meter dari pusat pengundian boleh dibuat oleh semua pihak.

Menurut satu kenyataan daripada Sekretariat Pakatan Rakyat, SPR tiada halangan bagi mana-mana parti politik untuk mendirikan pondok panas masing-masing.

Semalam, pihak jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagi membincangkan mengenai keputusan suruhajaya itu sebelum ini yang melarang parti-parti politik mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi.

Selain itu SPR juga bersetuju bahawa cadangan untuk menghadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon adalah sesuatu yang sukar dikuatkuasakan dan tiada peruntukan undang-undang bagi perkara tersebut.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu juga, SPR menasihatkan semua parti yang bertanding agar tidak membuat kerahan bagi mengelakkan keadaan menjadi terlalu sesak.

Pakatan Rakyat sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap larangan SPR agar parti-parti politik yang bertanding tidak membawa penyokong melebihi 5,000 orang pada hari penamaan calon.

Menerusi pertemuan tersebut juga, kedua-dua pihak bersetuju bahawa semua parti tidak dibenarkan meneruskan aktiviti berkempen selepas jam 12 malam pada malam sebelum hari mengundi.

Oleh yang demikian Pakatan Rakyat mahu larangan tersebut dikuatkuasakan ke atas semua parti yang bertanding.

Dalam pada itu, SPR dan Pakatan Rakyat turut bersetuju untuk mengadakan pertemuan berkala bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit sekurang-kurangnya setiap tiga bulan.

Wakil Pakatan Rakyat yang hadir dalam pertemuan semalam ialah Dr Dzulkifli Ahmad (PAS), Saifuddin Nasution (PKR), Liew Chin Tong (DAP), Datuk Johari Abdul (PKR), Dr Siti Mariah (PAS), Tian Chua (PKR), Manikavasagam (PKR) dan Saiful Izham sebagai penasihat Undang-undang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain