suria

Pusat Khidmat Tun Abdullah dipecah masuk

BUKIT MERTAJAM: Pusat Khidmat bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas dipecah masuk sekumpulan lelaki semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata kejadian yang dipercayai berlaku antara tengah malam hingga awal pagi semalam itu disedari oleh seorang pekerja di situ pada kira-kira pukul 7 pagi semalam.

"Pekerja yang hendak memulakan tugas di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Kepala Batas itu menyedari pejabat berkenaan dipecah masuk selepas melihat pintu terbuka dan keadaan berselerak di dalamnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan, polis menahan lima lelaki berusia antara 15 dan 27 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kesemua mereka ditahan di rumah mereka di sekitar Permatang Bertam, Kepala Batas di sini pada kira-kira pukul 11.30 malam tadi," katanya.

Ayub berkata polis turut menemui semula beberapa barangan yang dilapor hilang daripada pusat khidmat berkenan termasuk set televisyen, sejumlah wang dan beberapa peralatan pejabat.

Beliau berkata dengan penahanan dan penemuan semua barangan yang dilapor hilang itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh 24 jam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain