suria

Proses pengeluaran permit ceramah akan dipermudah - polis

BUKIT MERTAJAM: Polis akan memudahkan proses pengeluaran permit ceramah kepada semua parti atau calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata mereka yang berkenaan boleh mendapatkan borang permohonan di balai polis Seberang Jaya, Kubang Semang atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Tengah (SPT) di Bandar Perda di sini.

"Sebelum ini, kami hanya menyediakan borang berkenaan di IPD SPT tapi pada pilihan raya kecil ini kami menempatkan pegawai yang terlibat di dua balai lain bagi memudahkan parti bertanding memohon permit mengadakan ceramah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ayub berkata polis akan memberikan pertimbangan yang adil kepada semua pihak dalam meluluskan permohonan permit itu.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 16 April, kira-kira seminggu selepas beliau meletak jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei ini sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai hari pengundian.

DUN Penanti mempunyai 15,834 pengundi berdaftar.

Mengenai persiapan polis menghadapi pilihan raya kecil itu, Ayub berkata semua sumber kekuatan manusia, operasi dan logistik telah bersiap sedia dan jumlah keanggotaan pula bergantung kepada perkembangan akhir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain