suria

Lima penjenayah ditembak mati

JOHOR BAHARU: Lima penjenayah bersenjata warga asing mati ditembak polis sejurus selepas mereka memecah masuk rumah ustaz Syahrin Mohd Jamaluddin, setiausaha politik kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut jurucakap polis, dalam kejadian yang berlaku pada 2 pagi tadi, hanya isteri Syahrin dan tiga anak mereka berada dalam rumah yang terletak di Kampung Sinaran Baru, Kempas, kerana Syahrin berada di Putrajaya.

"Isterinya, Huzaimah Yahya dan anak-anaknya tidak diapa-apakan. Penjenayah telah melarikan barangan kemas dan wang tunai serta kereta Proton Waja milik mangsa," menurut jurucakap itu.

Polis yang mendapat maklumat tentang rompakan itu telah menggerakkan sepasukan anggotanya ke tempat kejadian dan telah bertembung dengan pejenayah terbabit di jalan susur Lebuhraya Kempas dua jam selepas kejadian.

Penjenayah yang bersenjatakan pistol dan parang itu cuba menyerang anggota polis sebelum, kesemua warga asing itu berjaya ditembak mati di tempat kejadian.

Syahrin, yang juga anggota exco Pemuda Umno, telah bergegas balik ke Johor Baharu sejurus selepas menerima panggilan tentang kejadian itu pada 3.30 pagi.

"Isteri dan anak saya telah diikat, tetapi isteri saya dapat melepaskan ikatan dan melarikan diri ke rumah bapa saya. Bapa saya kemudiannya telah menghubungi polis," katanya.

Syahrin, yang sering muncul di televisyen menerusi rancangan berbentuk keagamaan, berkata beliau pada mulanya menyangka ia adalah kejadian kecil sebelum dimaklumkan sendiri oleh pegawai polis.

Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Shariff turut melawat tempat kejadian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain