suria

Polis teliti CCTV di pejabat Murugiah

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pintu utama pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang mendakwa menerima dua kelongsong peluru bersama nota ugutan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata ia bertujuan menyiasat dari mana datangnya kelongsong peluru dan nota itu, yang ditemui seorang pegawai di pintu pejabat di tingkat 3, Bangunan Putra di Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

"Setakat ini, belum ada sesiapa pun dipanggil untuk memberi keterangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Murugiah mendakwa beliau menerima satu bungkusan misteri yang mengandungi dua kelongsong peluru bersama nota yang mengugut beliau supaya tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu, seorang anggota Majlis Tertinggi PPP hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul selepas mendakwa beliau menerima panggilan ugutan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali melalui telefon bimbitnya pada kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Kamal Batcha Noor Mohideen yang juga Ketua Bahagian PPP Kota Raja, Klang mendakwa lelaki berkenaan tidak memperkenalkan dirinya tetapi menyatakan dia adalah "orang" Murugiah.

"Saya dimarah dan dimaki hamun dengan perkataan yang tidak senonoh sebelum saya memutuskan panggilan itu. Saya percaya lelaki itu daripada kalangan anggota PPP sendiri," katanya kepada pemberita di luar pekarangan IPD Sentul di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan sedang menyiasat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain