suria

Pertol RON95 dijual mulai 1 September ini - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Penjualan petrol jenis RON95 pada harga RM1.75 seliter akan dikuatkuasakan mulai 1 Sept tahun ini sebagai alternatif kepada RON97 yang akan dinaikkan harganya kepada RM2 seliter.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata serentak dengan itu RON97 akan dijadikan sebagai produk premium manakala RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran.

Katanya sesuai dengan status sebagai produk premium, harga RON97 tidak akan dikawal oleh kerajaan berbanding RON95 yang merupakan produk harga tetap.

Beliau berkata kenaikan harga RON97 di pasaran tidak perlu membuatkan rakyat berasa panik kerana RON95 menawarkan kualiti dan prestasi yang sama hebatnya.

"Walaupun harga RON95 agak tinggi berbanding RON92 yang dijual pada harga RM1.70 seliter, namun ia lebih berkualiti dan dari segi prestasi, ia jauh lebih baik berbanding RON92," katanya kepada pemberita selepas melancarkan RON95 di sini hari ini.

Menurut beliau, keupayaan RON95 yang lebih tinggi membolehkan ia digunakan pada semua jenis kenderaan, termasuk keretakereta mewah yang diimport dari luar negara.

"Semua kereta boleh guna RON95 termasuk kereta yang berkuasa tinggi, berjenama mewah dan sebagainya. Jika sebelum ini keretakereta dari jenis itu menggunakan petrol RON97 kini mereka boleh beralih kepada RON95 yang lebih murah.

"Agensi kerajaan berkaitan menyokong penjualan RON95 malah perbincangan bersama industri kenderaan bermotor mendapati kebanyakan enjin yang diguna oleh kenderaan di negara ini sesuai menggunakan RON95," kata Ismail Sabri.

Kerajaan juga, katanya masih meneruskan pemberian subsidi kepada penjualan petrol sebanyak tiga sen seliter. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain