suria

Pembangkang tidak harus letak syarat untuk berunding - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pembangkang seharusnya tidak meletakkan sebarang terma dan syarat bagi apaapa jua perundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

Beliau berkata kerajaan perlu menghormati hakhak Pembangkang dan mereka juga perlu bertindak serupa apabila berbincang mengenai apa jua hal politik.

"Saya tidak tahu apakah syarat (daripada pembangkang). Tetapi apa yang penting ialah kita perlu menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan genom sawit Sime Darby Bhd di sini hari ini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, diminta mengulas tawaran pemimpin pakatan parti pembangkang untuk mengadakan perbincangan dengan BN bagi mencari penyelesaian terbaik krisis politik di Perak termasuk status menteri besar.

Beliau berkata terserah kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk memutuskan sama ada Dewan Undangan Negeri Perak harus dibubarkan atau tidak.

Mengulas kedudukan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar Perak yang sah, Najib berkata terpulang kepada Zambry untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Terpulang kepada Menteri Besar untuk memutuskan tindakan selanjutnya, kami akan mengemukakan rayu di Mahkamah Rayuan kerana kami menghormati undangundang," kata Najib.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah hari ini, Perdana Menteri enggan mengulas lanjut perkara itu.

Menjawab soalan mengenai ancaman bunuh yang diterima Murugiah semalam, Najib berkata Murugiah perlu membuat laporan polis bagi membolehkan kes itu disiasat.

"Saya tidak tahu butiran perkara ini tetapi saya sedih dengan tindakan orang tertentu yang menggunakan taktik seumpamanya untuk mengugut orang lain," kata Perdana Menteri.

Semalam, Murugiah menerima dua kelongsong peluru dan bersama nota ugutan yang memberi amaran kepada beliau meminta beliau supaya tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Parti Progresif Penduduk (PPP). Jika tidak, nyawanya terancam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain