suria

Peguam: Keterangan dikemuka tidak menyokong pertuduhan terhadap Kasitah

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Tan Sri Kasitah Gaddam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan jelas tidak dapat menyokong dua pertuduhan terhadap anak guamnya.

Datuk Muhammad Shafee Abdullah, dalam hujahannya pada akhir kes pendakwaan yang menyaksikan 31 saksi dipanggil memberikan keterangan, berkata pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan dua pertuduhan itu sepertimana dikehendaki oleh undang-undang berdasarkan penilaian terhadap semua keterangan yang diberikan saksisaksi dan dokumen yang dikemukakan di mahkamah.

Katanya pihak pendakwaan, dalam ucapan pembukaan, telah berjanji untuk membuktikan bahawa bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi itu amat memerlukan wang untuk membayar balik hutangnya berjumlah RM10.9 juta dan telah menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNs) untuk "merencanakan" penjualan saham Sapi Plantations milik lembaga itu untuk membayar pinjaman tertunggak dengan DCB Bank (kini dikenali sebagai RHB Bank).

Shafee berkata hujahan pihak pendakwaan bahawa keuntungan daripada transaksi saham itu telah digunakan oleh Kasitah untuk menyelesaikan bayaran pinjaman itu adalah tidak benar.

"Adalah benar bahawa bank telah menuntut bayaran balik dan mengugut untuk mengambil tindakan undangundang tetapi Kasitah akhirnya menyelesaikan bayaran pinjaman itu dengan menjual sahamnya dalam Intra Oil Sdn Bhd yang dibelinya pada awal 1994," katanya.

Hujahnya beban adalah terletak pada pihak pendakwaan untuk membuktikan yang Kasitah telah mempengaruhi anggota lembaga LTKNS semasa beliau mempengerusikan mesyuarat pada 10 Okt, 2006 ketika beliau didakwa mempunyai kepentingan dalam penjualan saham itu tetapi telah gagal mendedahkannya.

"Kami mempunyai keterangan di mahkamah ini bahawa semua anggota lembaga sedar dengan tawaran PPB Oil Palms dan dakwaan Kasitah memperdayakan anggota lembaga untuk meluluskan transaksi saham seperti yang terkandung dalam pertuduhan kedua adalah tidak benar," katanya.

Kasitah, 60, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi LTKNS untuk kepentingan kewangannya sendiri dengan mengambil bahagian dalam keputusan untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantation yang dipegang anggota lembaga kepada Briskmark Enterprise.

Beliau juga dituduh memperdayakan LTKNS dengan tidak mendedahkan tawaran oleh PPB Oil Palms untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantation yang dipegang anggota lembaga itu kepada Brismark.

Shafee menegaskan pihak pendakwaan banyak bergantung kepada bekas pengarah Briskmark Datuk Wasli Mohd Said dan Vincent Chia, bekas rakan kongsi firma perakaunan Arthur Andersen, dalam cuba mewujudkan kes prima facie terhadap Kasitah.

Beliau berkata pada awalnya Wasli keberatan untuk memberikan keterangan terhadap Kasitah apabila beliau (Wasli) sendiri menghadapi lebih 80 pertuduhan penipuan wang dan lima pertuduhan rasuah.

"Kredibiliti saksi adalah amat penting dalam kes ini kerana wujud kemungkinan yang pihak pendakwaan mengadakan perjanjian dengan Wasli dalam memujuknya untuk memberikan keterangan terhadap Kasitah dalam kes ini," kata Shafee.

Katanya keputusan pihak pendakwaan untuk mendakwa Wasli atas pertuduhan merasuah anggota lembaga LTKNS sebelum mesyuarat 10 Okt, 2006 itu sendiri boleh dianggap sebagai tindakan "kamikaze".

"Ia merupakan langkah memusnahkan diri sendiri di pihak pendakwaan; di mana ia telah melemahkan lagi pertuduhan kedua terhadap Kasitah bahawa Wasli telah merasuah anggota lembaga LKTNS sebelum mesyuarat itu bagi mendorong anggota lembaga membuat keputusan yang memihak kepadanya dan memperoleh saham Sapi Plantations," katanya.

Beliau berkata keterangan saksi utama pihak pendakwaan, Vincent Chia perlu dibuat dengan berhatihati berikutan peranan penting yang dimainkan olehnya sebagai wakil LKTNS, Briskmark, Arkwell Enterprise dan Kasitah.

"Chia telah bersandiwara dan boleh menimbulkan konflik kepentingan besarbesaran; di mana dia tidak pernah mendedahkan kepada manamana pihak mengenai dia bertindak sebagai ejen/pemegang amanah kepada siapa," kata Shafee.

Beliau berkata Chia perlu dilayani sebagai rakan subahat jika keterangannya boleh dipercayai.

Hujahan selanjutnya di hadapan Hakim Suraya Othman disambung esok. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain