suria

Mas Selamat guna lampu penanda sempadan ketika berenang

JOHOR BAHARU: Tidak banyak yang diketahui bagaimana Mas Selamat Kastari, pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, dapat mengelakkan diri daripada ditangkap semula di Singapura selepas meloloskan diri dari penjara kawalan maksimum negara itu Februari tahun lepas.

Bagaimanapun Bernama difahamkan ketua pengganas rakyat Singapura yang berasal dari Indonesia itu berjaya menyembunyikan dirinya di beberapa tempat di republik berkenaan selama empat hari sebelum berenang ke Johor.

"Pada hari keempat selepas dia berjaya meloloskan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road, barulah Mas Selamat berenang sejauh satu kilometer merentasi Selat Tebrau pada waktu malam daripada Woodlands ke Stulang Laut di Johor Baharu.

"Dia menggunakan lampu-lampu boya penanda sempadan yang terdapat di Selat Tebrau itu sebagai panduan untuk membolehkannya tiba di kawasan yang difikir selamat di Stulang Laut itu," kata sumber yang mengetahui tentang penangkapan ketua penganas JI Singapura itu kepada Bernama hari ini.

Meskipun begitu kemampuan Mas Selamat menyembunyikan diri selama empat hari ketika ribuan pasukan keselamatan republik itu dikerah memburunya terus menjadi persoalan sehingga kini, kata sumber itu.

Mas Selamat yang dikatakan mahir menggunakan senjata dan membuat bahan letupan, didakwa merancang merampas kapalterbang di Bangkok dan menghempaskannya di Lapangan Terbang Changi dalam satu serangan pengganas.

Sejurus selepas ketua pengganas yang tempang sebelah kakinya itu melarikan diri, Singapura melancarkan operasi memburu terbesar dalam sejarahnya untuk mengesan dan menangkap individu yang dianggap sebagai amat berbahaya kepada keselamatannya.

Singapura yang terkenal dengan kemodenan pasukan keselamatannya mengerah ribuan anggota tentera dan polis memburu Mas Selamat di segenap pelusuk negara itu serta memperketat kawalan di pintu masuk darat dan lautnya.

Buruan lebih setahun republik itu terhadap Mas Selamat berakhir Jumaat lepas apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan penangkapan ketua penganas itu oleh polis negara ini di Skudai awal bulan lepas.

Menurut sumber itu lagi, walaupun berhadapan dengan sekatan jalan raya dan buruan ribuan anggota keselamatan selepas melarikan diri, ketua penganas JI itu berjaya mengelak daripada dikesan untuk sampai ke Woodlands, yang terletak di pesisir Selat Tebrau di utara Singapura.

"Masih menjadi persoalan bagaimana beliau mengelak dari dikesan dan mampu sampai ke Woodlands dari Pusat Tahanan Whitley Road yang terletak agak jauh di antara satu sama lain.

"Sama ada beliau berjalan kaki atau menggunakan perkhidmatan awam, laluan yang digunakan akan diketahui kelak," katanya. Sumber itu berkata kawalan keselamatan di Woodlands juga tidak kurang ketatnya kerana ia menempatkan Kompleks Kastam dan Imigresen republik itu yang menjadi pintu masuk utama rakyatnya keluar masuk ke Johor menggunakan Tambak Johor.

Beliau berkata selain itu pihak berkuasa pengawal pantai Singapura turut mengadakan kawalan ketat di Selat Tebrau yang memisahkan republik itu dengan Johor, kerana menjangkakan kemungkinan Mas Selamat akan berenang ke Johor dalam usaha melarikan diri dari republik itu.

Pihak berkuasa pengawal pantai Singapura katanya, menempatkan sebuah botnya di setiap satu kilometer selat itu, membuktikan lagi betapa ketatnya kawalan keselamatan republik itu.

"Pada waktu malam, Mas Selamat berenang dari Woodlands ke Stulang Laut, menembusi kawalan keselamatan yang amat ketat botbot pengawal pantai Singapura di Selat Tebrau itu," kata sumber itu.

Sebagaimana yang dilaporkan Bernama sebelum ini, setibanya di Stulang Laut, Mas Selamat menemui Abdul Matin di Ulu Tiram dan Johar Hassan yang tinggal di sebuah perkampungan di Skudai, Johor Baharu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain