suria

Ku Li sokong DUN Perak dibubar

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin agar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelenggu Perak,"kata tulisan terbaru dalam blognya semalam.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Ku Li berakta, krisis yang terjadi di Perak telah merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata rakyat.

Februari lalu, ketika berlakunya krisis politik sehingga jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu Ku Li turut mengkritik proses pegambilalihan kerajaan Barisan Nasional daripada PR yang disifatkan sebagai tidak mengikut Perlembagaan.

Beliau juga bekas Naib Presiden Umno mencadangkan pilihan raya negeri diadakan bagi mengelakkan rakyat terus menjauhi Umno.

Tambahnya, segala keputusan yang diambil kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan barisan Exco selama kira-kira tiga bulan disifatkan sebagai 'haram dan semua keputusan dibuat tidak mengikut asas perundangan'.

Jelasnya, persidangan DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.

"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN.

"Isu sebenarnya adalah perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan sistem beraja dilindungi selagi mendukung keunggulan perlembagaan dan hasrat rakyat,"katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain