suria

Krisis Perak: BN kemukakan rayuan - Najib

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah, kemungkinan hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami berpendapat kami mempunyai kes yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di pejabatnya di sini, semalam.

Ditanya apa yang berlaku di Perak bagi tempoh sekarang sehingga pendengaran rayuan itu, Najib berkata: "Kami mesti tentukan tarikh (untuk kemuka rayuan), mungkin esok" (hari ini).

Beliau menggesa penduduk di Perak untuk bertenang dan tidak terlalu teruja dengan perkembangan terbaru itu.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Zambry Abd Kadir dari Barisan Nasional (BN) bukan Menteri Besar Perak yang sah.

Ditanya sama ada Dewan Undangan Negeri Perak akan dibubarkan bagi memberi laluan bagi pilihan raya baru di negeri itu berikutan perkembangan terbaru itu, Najib berkata, ia merupakan bidang kuasa Sultan Perak (untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri).

Kepada soalan sama ada beliau akan menghadap Sultan Perak dalam masa terdekat, Perdana Menteri berkata beliau tiada masalah untuk menghadap sultan.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan bagi penangguhan prosiding sementara menunggu rayuan dan memerintahkan Zambry dan anggota Exconya melepaskan jawatan secepat mungkin. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain